Lain Dulu Lain Sekarang

Saya cuma nak berkongsi cerita & pengalaman sendiri sebab dah banyak kali sebenarnya orang menegur bila nampak kulit wajah saya dah lain daripada dulu. Sejak dulu saya memang ada masalah kulit, selain daripada berminyak jerawat juga mudah sangat datang 'bertandang'. Saya pula yang jenis malas nak menjaga muka, kalau boleh nak guna produk yang seringkas mungkin, tonyoh 2, 3 kali pastu siap! Sebab tu dulu bukan setakat jerawat penuh muka tapi kulit pula jadi tidak sekata bahkan wajah saya memang agak hitam/kusam sewaktu bersekolah dulu.

Bila saya pulang dari UK tahun 2007, waktu tu kulit muka saya rosak teruk (boleh dilihat dengan jelas seperti dalam gambar), kulit menjadi terlalu kering & kadang2 berminyak, jerawat pula jangan cakaplah, memang kulit saya mengelupas teruk waktu tu, pakai bedak compact pun tak boleh sebab tak nak menambahkan lagi kerosakkan yang sedia ada. Jadi masa tu memang nekad nak cari produk yang berasaskan organik. Kebetulan seminggu selepas kembali ke tanahair saya pergi ke salah satu event di KLCC, disitu saya telah ditegur oleh seorang wanita cina yang meminta saya untuk membuat ujian keatas kulit wajah, memang dapat lihat dengan jelas sel2 kulit yang telah rosak! Waktu tu tanpa banyak soal jawab saya terus membeli produk tersebut & menjadi ahli sehingga kini.

Seminggu pertama menggunakan produk melilea saya dapat merasai perubahan pada kulit wajah, sebab saya ni kalau menggunakan sesuatu produk nak nampakkan kesannya secepat mungkin, jadi memang berbaloilah membeli produk ni waktu tu sebab dah menampakkan sedikit perubahan. Masuk sebulan yang pertama manager di tempat saya menegur kulit saya nampak lebih segar dari dulu, waktu tu saya nekad tak mahu menggunakan produk lain kerana saya telah menemui produk yang sesuai untuk kulit saya. Setelah 3 tahun menggunakannya saya sangat2 berpuashati! Sejak itu juga saya sudah tidak perlu bersusah payah membeli bedak compact ataupun bersolek berjam2 didepan cermin. Bagi orang yang malas ataupun tak suka berbedak seperti saya, produk melilea ni sangat sesuai untuk anda, cubalah.

Pendapat orang lain saya tidak tahu tapi pada saya wajah kita adalah pemberian Allah taala yang dipinjamkan kepada kita untuk sementara, jika tidak dipelihara dengan baik seolah kita tidak menghargai pemberian-Nya pula. Memang ada diantara kita yang tidak suka bersolek pun, tidak mengapa sebab bersolek pun bukannya wajib, tapi kesihatan kulit yang harus dipelihara. Kulit yang cantik & wajah yang cantik menawan adalah 2 perkara yang berbeza. Tidak suka bersolek tidak bermakna kita tidak perlu ambil pusing dengan kesihatan kulit wajah sendiri, sebagai seorang wanita mahu atau tidak tetap kena jaga. Bak kata Shermaine (orang yang bertanggungjawab memperkenalkan produk melilea pada saya) 'Dalam dunia ni tidak ada wanita yang tidak cantik kecuali wanita yang malas'! Jadi pilih sendiri kita dikalangan wanita yang mana satu :-D
Nota : teringat kisah 2 orang wanita tua berketurunan cina menegur saya, 'haiyaaa amoi lu punya kulit muka sangat cantik...memang lengloi...' masa tu kembang buntot sekejap..hehehe

Kisahku & Awie

Sepanjang minggu ni saya asyik melayan lagu2 dendangan Search & Wings sebelum menyaksikan konsert Double Trouble hari sabtu nanti...huh! bila mendengar lagu2 nyanyian mereka teringat kembali kenangan sewaktu zaman 'rock kapak' dulu! Sejak dari zaman sekolah saya meminati kumpulan Wings kerana setiap hari jiran disebelah rumah arwah atuk (masa tu saya bersekolah di Perak) asyik putar kaset Wings hampir setiap hari sampai saya pun dah boleh hafal lagu2 nyanyian mereka! Waktu zaman sekolah dulu manalah mampu nak beli kaset, apatah lagi nak pergi tengok konsert, ehhh...jangankan konsert2 besar, nak pergi tengok artis menyanyi kat fun fair pun tak merasa waktu tu, walhal bayaran masuk fun fair tu tak sampai pun RM10. Tapi sebab duit belanja arwah atuk pegang sudahnya berputih mata saja bila tengok kawan2 dapat pergi tengok Wings menyanyi kat fun fair masa tu! Sakit hati sungguh! Lebih sakit hati pakcik saya pula bersungguh bercerita betapa bestnya dapat tengok Awie & Wings beraksi, sebab dia tahu yang saya memang tergila2kan Awie waktu tu...huh..kenangan..kenangan...

Sewaktu di tingkatan 5 saya berpindah ke sebuah sekolah di Bentong Pahang, kebetulan salah seorang teman saya turut meminati Awie, setiap hari topik kami berkenaan dengan Awie & Wings saja...huh gila sungguh! Apa saja cerita berkenaan Awie memang kami tahu bahkan lebih hebat menghafal kisah2nya daripada menghafal buku2 untuk SPM! hahaha....Waktu tu setiap peristiwa yang berlaku pada Awie memang saya ambil tahu, daripada kisah percintaannya yang tak menjadi bersama Watie sehingga dijadikan sebagai sebuah filem, kisah Awie ditangkap khalwat bersama Dangsuria, tarikh Awie kemalangan bahkan no flat motor Harley Davidson Awie dulu pun saya tahu! Memang obses sangat2 dengan Awie dulu, rasa bodoh pun ada! :-D

Kalau bercerita tentang poster2 Awie dahulu, hmmm...jangan cakaplah semuanya saya ada sampaikan kalau saya terlalu sukakan gambar2 Awie dimajalah saya akan melanggan dua buah majalah yang sama sekaligus sebab satu daripadanya untuk digunting & dilekatkan didalam file saya! Tampal2 didinding memang saya tidak suka, lagipun kalau mak bonda saya tahu memang kena membebel 24 jam. Tapi nak dijadikan cerita waktu saya tinggal di asrama untuk seketika sebagai persiapan untuk mengambil SPM, entah macamana sewaktu pulang bercuti baru saya perasan majalah yang saya kumpulkan sejak bertahun lamanya tentang Awie telah habis dibakar oleh mak bonda. Sakitnya hati!!!! Nak tanya memang tak berani sebab saya memang tahu yang mak bonda tak suka bila mendapat tahu saya meminati mana2 artis terutamanya Awie! Bila ingat2 balik rasa nak ketawa pun ada dibuatnya melihatkan karenah mak bonda, macamlah saya ni memuja Awie sehingga lupa diri. Bahkan setiap kali Awie membuat persembahan di tv pun mak bonda asyik memerli saya 'tengok tu dok terkinja2 berambut panjang macam setan'! Adoilaaa mak bonda oiii apalah salah Awie tu pada mak? kadang2 rasa macam saya ni 'Watie' yang Awie puja2kan dahulu, percintaan bersama si gadis yang mendapat tentangan hebat dari keluarga terutamanya si ibu...hahaha...cuma bezanya saya tak bercinta dengan dia!

Apabila masuk ke tingkatan 6 dapat pula peluang bersekolah di KL, apa lagi seronok tak terhingga sebab saya rasa seolah Awie 'semakin dekat' dengan saya. Apabila mendapat tahu Awie akan muncul di panggung Odeon untuk mempromosikan filem 'Sembilu' saya ajak Harny menemani saya, mana tahu bila nampak Awie nanti tiba2 terkejut beruk sampai pengsan sekurang2nya cik Harny boleh 'angkut' saya pulang...hahaha...bila Awie muncul waktu tu memang tak terkata apa2, saya dapat melihat dengan jelas & berdiri mengadap betul2 depan Awie. Entah macamana secara spontan saya memberi isyarat untuk bergambar dengannya & dia menganggukkan kepala, yahooooo!!!!!! Sayalah orang pertama yang dapat bergambar dengannya waktu tu, selepas berposing saya & Harny terus bergegas ke bus stop sebab takut nanti tertinggal bas mini...hahaha...Seronoknya sampai keesokkan hari sewaktu pergi ke sekolah saya tersenyum seorang diri sambil membawa gambar2 bersama Awie & diari yang ditandatangani olehnya...hehehe...huh, bangga ooo dapat tunjukkan kat member2 dalam kelas! hahaha

Bila bekerja minat tu masih ada cuma tak segila dahulu. Sewaktu saya bekerja di Segambut hampir setiap minggu dapat melihat kereta mercedez merah Awie yang diletakkan dihadapan pejabat BMG. Bila ingat2 balik saya rasa kalaulah saya nampak Awie waktu itu & saya masih tergila2kannya seperti waktu saya bersekolah dahulu mungkin saya akan bertenggek dihadapan pejabat BMG tu sambil menunggu Awie!....hahaha...tapi bila dah tua2 ni jumpa Awie kat luar masa tengah bershopping barang dapur pun saya tak tergamak nak tegur dia. Jadi bila terkenang kembali cerita2 lama dulu rasa bangang pun ada tapi itu semua sudah menjadi kenangan.

Bila berpeluang untuk menyaksikan Konsert Double Trouble saya rasa happy sangat sebab sepanjang hidup saya memang tak pernah menonton konsert rock secara live sebab dari dulu saya memang tidak suka berasak2 didalam stadium, tapi memandangkan ini mungkin kemunculan terakhir Search & Wings diatas satu pentas jadi saya pergi juga! Oh...dulu saya kurang meminati Search kerana Wings pernah kalah ditangan Search sewaktu juara lagu tahun 89 gara2 lagu Isabella yang tengah meletup meskipun persembahan Wings lebih hebat waktu tu! hehehe...apa pun saya memang tabik dengan kedua2 kumpulan ini kerana masih bertahan sehingga kini!

Nota : Rock kapak paling best! Rock sekarang rock meleleh...errr rock ke tu??


Alahaiii perempuan...

Malam kelmarin saya menonton rancangan bual bicara 'The Oprah Winfrey Show', kebetulan topik yang dibincangkan menarik perhatian saya. Kisahnya tentang seorang wanita yang berusia 41 tahun tapi masih tidak punya pasangan hidup. Memandangkan mereka disana mengamalkan sikap terbuka maka si wanita ini tidak kisah hal peribadinya dibincangkan secara langsung dikaca tv & disaksikan oleh berjuta2 penonton di seluruh dunia.

Si wanita ini seperti sudah berputus asa mencari pasangan hidup kerana merasakan seolah2 putera impiannya itu masih tidak kunjung tiba sehingga terpaksa 'dibantu' pula oleh Oprah & teman2nya, Nate Berkus & Patti Stranger (millionaire matchmaker). Apabila si gadis ini bertemu dengan Nate berbagai soalan yang diajukan untuk mencari punca mengapa dia masih belum mempunyai pasangan hidup. Apabila ditanya bagaimanakah lelaki impiannya, haaaaa tu dia sekali berjela2 kriteria yang dia inginkan yang perlu ada pada seseorang lelaki. Salah satu perkara yang dia tidak boleh terima tentang lelaki adalah apabila melihat lelaki minum menggunakan straw! katanya lelaki akan kelihatan tidak macho jika menggunakannya. Saya kasihankan wanita ini, dia terlalu inginkan kesempurnaan sehingga dia sendiri tidak sedar yang dia pun tidak sempurna mana! Dia tidak tergolong didalam wanita yang cantik & tidak juga hodoh, tidak terlalu kaya tapi tidak juga miskin. Dia punya kerjaya yang baik, mungkin kerana itu dia merasakan bahawa dia patut memiliki lelaki yang sempurna sebagai pasangan hidupnya.

Hendak tahu apa jawapan yang diberikan oleh mereka? Dia perlu berhenti bermimpi kerana lelaki idamannya itu sebenarnya TIDAK pernah wujud dalam dunia! Saya rasa dia tidak perlu memalukan diri sendiri dihadapan jutaan penonton untuk mendengar jawapan dari mereka semua kerana saya juga akan memberikan jawapan yang sama (kerana saya pernah memberi jawapan begini pada seseorang) atau barangkali dia berfikir jika dia keluar dikaca tv mungkin ada ramai lelaki yang akan cuba memikatnya selepas ini. Saya kasihankan wanita ini kerana tidak berpijak dibumi yang nyata, inginkan belaian seorang lelaki tetapi harus menepati ciri2 impiannya, wahai saudari agak2nya saudari duduk di planet mana ye? Saudari sedar tak umur saudari tu berapa tahun? Barangkali dia terlalu banyak berkhayal ataupun hanya duduk didalam dunia fantasinya.

Nate & Patti berusaha menemukan si gadis ini dengan seorang jejaka yang juga sedang mencari pasangan hidup. Dipendekkan cerita mereka berdua dipertemukan di sebuah restoran sambil diperhatikan oleh Nate & Patti melalui kamera yang telah dipasang di restoran tersebut. Apabila si wanita ini bertemu dengan si jejaka, maka mulalah babak2 yang memeningkan. Si gadis ni terlalu banyak bercakap sehingga tidak memberi peluang langsung pada si jejaka untuk bersuara sehingga menimbulkan kebosanan bukan setakat diwajah jejaka tu bahkan wajah Nate & Patti yang sedang menyaksikan melalui kamera yang tersembunyi. Si wanita ini bercerita betapa dia sanggup berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat sehingga berjaya menemui lelaki idamannya, tidakkah kelihatan seperti dia sedang terdesak? Itu belum lagi dengan gelagat si wanita yang tiba2 bertukar menjadi manja, alahai...wahai saudari kalau dia inginkan yang manja meliuk lintok dah tentu dia mencari seseorang yang jauh lebih muda dari saudari sebab orang tua2 ni kalau merengek atau merajuk tak kena tempat memang nampak buruk. Kasihan tak? Maaflah ini bukan sekadar pendapat saya bahkan Patti juga menasihati perkara yang sama.

Kalau saya sebagai seorang lelaki sudah pasti saya inginkan wanita yang matang bersama saya tetapi jika umur saja yang matang tapi perangai pula masih kebudak2kan lebih baik saya memilih yang jauh lebih muda yang dah tentu lebih bergetah, bukan ke? Si gadis ini juga lebih berminat pada lelaki yang lebih muda darinya. Sekali lagi saya kasihankan dia! Berapa ramai lelaki muda yang sukakan wanita yang lebih tua? Tua & matang adalah dua perkara berbeza kerana umur tidak menjanjikan sejauh mana tahap kematangan seseorang. Wahai saudari, kalau saudari inginkan yang muda & handsome dia juga inginkan gadis yang muda & cantik. Jadi bukalah mata & hati sendiri, kalau tidak pun mengadaplah dihadapan cermin tu lama2 dah renungkanlah diri sendiri. Kalau tidak temui jawapannya bolehlah dihantukkan kepala saudari pada cermin tadi :-p

Dipendekkan cerita lagi si gadis tadi masih tidak bertemu jodoh lagi kerana merasakan tiada lelaki yang mampu mendampinginya. Dia juga mahukan lelaki yang begitu tergila2kannya, erk...! (saudari ni Kim Kardashian ke?). Alamatnya sampai kiamatlah dia menunggu lelaki sempurna yang dicari2nya tu. Ingatlah wang yang banyak sekalipun belum tentu dapat menjamin kita memiliki jejaka idaman kita tu. Memanglah setiap daripada kita mempunyai keinginan untuk memiliki lelaki yang mampu memenuhi kriteria yang kita inginkan tetapi harus diingat bahawa kita pun bukan muda lagi, tapi tidak juga sampai main kebas asal boleh je janji dapat kawin! Bila bercinta jadilah diri sendiri, tidak perlulah nak berlagak manja, bertutur sopan ala2 liuk lintok sedangkan satu dunia tahu anda bukan jenis begitu, lagipun takut nanti bila dah kawin keluar segala perangai molek sampai laki pun cabut lari walhal kawin pun belum sampai setahun lagi. Lepas tu kalau ye pun kita sukakan dia janganlah ditonjolkan sangat seolah2 kita terdesak inginkan dia, ingat dia tak rasa rimas ke? Kalau saya jadi lelaki pun saya angkat kaki tinggalkan dia, huh.. rimasnya! Jadi pesanan buat semua wanita yang sekapal dengannya diluar sana 'be yourself'! Jodoh akan tiba juga nanti & kita harus redha dengan apa yang telah dijanjikan oleh-Nya buat kita. Berapa kekayaan atau tahap ke'hensem'annya tidak menjaminkan kita akan hidup bahagia dengannya, tapi kalau dapat yang kaya, hensem & baik tingkah laku itu adalah bonus. (kalau ada pun mungkin bukan untuk kita). Wallahualam.

Nota : letih nak layan orang2 tua yang lupa diri bila bercinta, patutlah orang selalu berkata orang tua bila bercinta memang buruk!

Aduh!

Saya ni memang paling takut dengan jarum! Bila diarahkan untuk mendapatkan suntikan Anti Meningococal ACYW 135 sebagai persediaan untuk kesana, jadi tak tentu arah dibuatnya. Dah ler nak menyebutnya sampai bergulung2 macam kuih gulung, nasib baik dapat doktor yang baik, lemah lembut pulak (lelaki lagi...). Orang2 yang jadi doktor ni mesti cakap lemah lembut ye, banyak doktor2 yang saya jumpa memang 'sepesen' je cara bercakap. Kalau ada doktor yang garang pun doktor gigi! Dah ler kita takut nak cabut gigi dapat pulak doktor yang muka bengis, nak bukak mulut pun tak berani. Memandangkan saya memang takut jarum jadi kebarangkalian untuk suntik botox tu memang tiadalah dalam hidup saya :-p

Cepat betul masa berlalu, tinggal lebih kurang sebulan lebih saja dari sekarang sebelum berangkat kesana, dah benar2 bersediakah saya? Macam2 perasaan pun ada, takut, gembira, tak sabar semua ada. Sekarang ni kena belajar 'kontrol mulut' takut kat sana nanti macam2 perkataan pula yang keluar! ishhhh...maklumlah bukannya pergi bercuti2 seperti yang biasa saya buat tu tapi cuti mencari ketenangan yang sebenar2nya. Kalau ditanya persediaan memanglah dalam kepala ni kosong sekosong2nya, kadang2 rasa macam tak percaya nak pergi pun ada. Terus terang cakap saya memang mengharapkan segala2nya pada mak bonda yang akan bersama sepanjang berada disana, kalau tidak nanti entah apalah yang jadi pada saya. (ini cakap2 orang yang ketakutan :-p)

Nota : semoga saya diberi 'kekuatan' olehNya sebelum berangkat kesana.

Keletihan tahap maksimum!

Kalaulah anggota badan selain daripada mulut mampu berkata2 barangkali 'mereka' akan komplen betapa letihnya mereka! Saya rasa bulan ni adalah bulan yang paling memenatkan! Ya Allah bila boleh siap semua kerja2 ni? Kenapa semuanya datang disaat2 akhir?? Kenapa hidup saya menjadi tidak keruan seperti dulu, terpaksa kerja lebih masa untuk menyiapkan kerja2 yang tak pernah habis ni! Eh bukan salah saya! Salahkan client yang mereng2 tu sebab suka sangat menukar itu ini, tu ler dok pakai lagi konsep 'customer always right'..tengkorak hang!

Saya ni memanglah bukan jenis yang suka membawa pulang kerja ke rumah, ohhh tidak sama sekali! Waktu dirumah hanya untuk berehat semata2, menonton tv sambil makan, makan & makan lagi. Sudah cukup memeningkan kepala mengadap kerja seharian mana mungkin mahu dibawa pulang ke rumah pula, bukan dapat extra cuti ataupun boleh claim overtime! Bukanlah nak berkira tapi kita pun ada kehidupan sendiri kan. Konsep saya 'kerja untuk hidup bukan hidup untuk kerja'!

Tapi selalunya sibuk macamana pun saya tetap mencari ruang waktu untuk bersama keluarga, teman atau kaum kerabat yang lain, kalau tidak saya boleh jadi gila. Kebelakangan ni saya lebih suka melepak bersama sepupu sepapat saya, boleh dikatakan setiap minggu kami keluar bersama, maklumlah kawan2 yang ada pun dah tak ramai, kalau ada pun yang disini kebanyakkannya dah berumahtangga, yang best2 pula dah jauh dinegara orang yang tinggal pun jenis yang bosan2 gak...adehh!!! tak larat ler nak layan orang2 macam ni...dah tua2 ni saya lebih suka menghiburkan hati dengan ketawa & senda gurau bersama kawan2, bukan melayani perasaan hati masing2 yang tak pernah berkesudahan, ala rimas lah!

Nasib baik juga ada sepupu sepapat yang sekepala, walaupun ada yang dah berumahtangga tapi sang suami pula bukan jenis yang banyak soal memang makin menjadi2lah kami, sebab tu ada masanya boleh melepak sampai 3 - 4 pagi, kalau dengan mak bonda mesti dia akan cakap macam ni 'kalau bangun sembahyang sunat ke ada gak pahala' (err...tapi mak pun takde bangun kan..kan..hehehe)

Oh..harap2nya dapat berehat sedikit minggu depan memandangkan show pun akan bermula tidak lama lagi. Harap sangat2 sebab dah tiada tenaga lagi dah :-(

Nota : mengharapkan gaji naik lagi tahun ni...kena doa betul2 ni!

Top Host

Akhirnya tersingkir juga anak saudara saya dari rancangan 'Top Host' malam tadi. Sayang sekali kerana penyingkirannya disebabkan dek kelalaian beliau sendiri. Entah macamana dia boleh terlewat bangun sehingga menjejaskan kerja ahli kumpulan yang lain. Apa pun dah tertulis tiada rezeki untuknya di Top Host, semoga pengalaman ini akan menjadi pengajaran buat Aswad dimasa2 akan datang! Good Luck Aswad!

Pameran Kasut

Semalam saya pergi tengok Shoe Festival kat PWTC, kebetulan Jimmy Choo pun ada terlibat sama jadi memang teruja nak melihat kasutnya dengan lebih dekat. Maklumlah Jimmy Choo sangat dikenali di seluruh dunia bagi penggemar kasut seperti saya cumanya tak mampulah nak membeli kasutnya lagi.

Sila buka mata seluas2nya, lihat harga yang tertera disitu. Tersangatlah mahalnya bahkan lebih mahal dari harga rumah saya. Artis2 Malaysia pun belum ada yang mampu nak membeli kasut jenama beliau kalau harganya sebegitu rupa. Harga yang paling mahal dipamerkan disitu adalah RM380,00.00, naik juling mata melihat berapa banyak kosong kat belakang tu!

Yang ni terlebih kreatif pulak! Saya memang tersangatlah sukanya kalau ada berkelip-kelip begini tapi tak sanggup nak pakai kalau penuh dek renda2 sekeliling kasut. Takkan nak pergi kenduri rumah jiran sebelah pun nak pakai kasut macam ni kan, makanya kasut2 yang dibeli oleh saya sememangnya yang praktikal saja , boleh dibawa ke pejabat & menghadiri sebarang majlis ataupun melepak bersama kawan2.

Baju kelip-kelip ni pun boleh nampak dengan jelas kalau anda tenggelam nun jauh di lautan atlantik. Sungguh glam gitu! Sanggup tak nak pakai? Saya sanggup! Apa saja yang berkelip-kelip saya suka!

Ahhh...terbeli kasut lagi! Tak tahulah setan mana yang berbisik suruh beli kasut ni! Dah niat dari rumah tak nak beli kasut tapi terbeli juga...adehhh!!! Sesuai lah dengan perkataan yang tertulis dikotak kasut tu 'enjoy your life'.. so... enjoysssss :-p

Balik dari PWTC terus teringat nak beli kabinet kasut yang baru, kesian kasut2 tu dah macam kucing beranak yang tiada tempat berlindung, ada ke macam tu? Tak cukup ruang depan dalam bilik tidur pun dipenuhi kasut. Mak Bonda datang asyik berleter sebab rumah pun dah macam kedai kasut!

Jeng jeng jeng akhirnya kasut2 sudah punya 'tempat perlindungan'! Saya sangat sukahati dapat melihat kasut yang tersusun rapi, selalu berangan nak memiliki ruang yang besar untuk menyimpan kasut2 saya seperti Kimora tapi cuma dapat berangan sajalah. Mana tahu mungkin disuatu hari nanti saya mampu memiliki kasut yang berjenama terkemuka dunia yang harganya mencecah ribuan ringgit? Waktu tu tidur pun dengan kasutlah jawabnya...hmmmm
Nota : nak kena kunci almari kasut ni, kalau mak bonda tengok mau kena berleter lagi ni...dulu masa dalam kotak kasut dia tak boleh nampak! :-D

Double Trouble - Search & Wings

Fenomena muzik rock akan terus memuncak 1 Mei ini apabila dua kumpulan rock lagenda, Search dan Wings bakal disatukan dalam Konsert Double Trouble. Setelah hampir 30 tahun dalam industri dan melalui pelbagai kontroversi, namun kumpulan rock ini masih gah berdiri sehingga ke hari ini.

"Bersyukur akan disatukan semula di atas satu pentas selepas 17 tahun dan kali terakhir adalah pada Konsert Double Trouble tahun 1993. Kami rasa 'teragung' apabila anak watan diberi kepercayaan untuk menjayakan konsert besar-besaran seperti ini. Kami harap konsert ini akan menjadi yang terulung dan terbaik untuk tahun ini.

"Walau bagaimanapun, konsert ini hanya akan diadakan di Kuala Lumpur buat masa ini. Tiada konsert jelajah dalam perancangan," kata Awie.Konsert yang akan berlangsung dua jam akan menyaksikan dua lagenda rock Malaysia mempersembahkan 20 lagu hits seperti Gemuruh, Opera Hidup, Fantasia Bulan Madu, Isabella dan Derap Komando.

Konsert Double Trouble akan diadakan pada 1 Mei 2010 di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort bermula jam 8.45 malam.

Nota : zaman Search & Wings meletup dulu aku masih dibangku sekolah, jadi jangan harap dapat pergi tengok konsert, sekarang masanya untuk membalas dendam...yeahhhh!!! phewwwitttttt :-)