Umrah (part 1)

Penerbangan dari Cairo ke Jeddah mengambil masa lebih kurang 2 jam. Sebaik selesai urusan di airport kami meneruskan perjalanan ke Madinah. Alhamdulillah tiada sebarang masalah meskipun keadaan agak sesak sewaktu berada di airport. Dek kerana badan yang terlalu letih maka sepanjang perjalanan ke Madinah kebanyakkan dari kami hanya melelapkan mata. Lagipun tiba diwaktu malam nak tengok apa kan? Ustaz yang mengetuai rombongan pula tersangatlah halus suaranya sampai kami yang duduk di bahagian tengah pun tak dapat mendengar apa yang dia ucapkan meskipun menggunakan microphone, sudahnya mengomellah ustaz tu seorang diri sambil ditemani driver bus!

Kami singgah untuk makan malam di suatu tempat yang saya kurang pasti lokasinya tapi hanya dikelilingi kawasan bukit bukau & keadaan didalam kedai tersebut tersangatlah panasnya. Selama saya mengembara ke beberapa negara tak pernah saya temui tempat sepanas ini! Dalam keadaan mata yang mengantuk saya gagahi juga untuk menikmati makanan malam kerana perut susah mulai berkeroncong meskipun tidak selesa dengan keadaan cuaca panas yang melampau dalam kedai tersebut.

Perjalanan dari Jeddah menuju ke Madinah mengambil masa selama 6 jam, sewaktu tiba di Madinah jam telah menunjukkan pukul 3.00 pagi, sebaik dikejutkan oleh mak bonda sewaktu bas melintasi Masjid Nabawi tidak tergambar betapa seronok & kagumnya saya kerana akhirnya dapat melihat Masjid Nabawi didepan mata! Entah kenapa air mata saya bercucuran waktu itu, hanya Allah saja yang tahu...bagi mereka yang pernah sampai kesana barangkali dapat menyelami perasaan saya.

Sebaik dapat kunci bilik saya bersiap2 untuk ke masjid bagi menunaikan solat subuh tapi entah kenapa tiba2 hidung saya berdarah teruk (barangkali keadaan yang terlalu panas sewaktu berhenti makan tadi ) waktu tu saya hanya berdoa pada Allah supaya pendarahan dihentikan segera memandangkan itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Kota Madinah & ingin benar bersolat di Masjid Nabawi buat pertama kali. Alhamdulillah sekelip mata itu darah yang mengalir deras sebentar tadi tiba2 menjadi kering. Syukur pada Allah meski agak terlewat tiba di masjid saya masih dapat berjemaah bersama2 jemaah yang lain untuk menunaikan solat subuh. Alhamdulillah.
Add Image

Sebaik selesai bersarapan pagi para jemaah dibawa melawat ke sekitar Masjid Nabawi, Makam Rasulullah & Perkuburan Baqi' (tempat Saidina Othman, anak-anak Rasulullah dan juga isteri2 baginda di semadikan).Kawasan perkuburan Baqi' terletak di sebelah timur dari Masjid Nabawi. Kini, selepas Masjid Nabawi diperluas, kedudukannya bersebelahan (dataran) dengan masjid tersebut. Ia menjadi perkuburan awam, khususnya jemaah haji atau umrah yang meninggal dunia di Madinah.

Kedudukan Perkuburan Baqi' menjadi agung dan mulia kerana kebanyakan hadis Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan tentang itu. Antaranya ..."Siapa yang meninggal dunia di Madinah, akulah yang akan menjadi saksi dan penolong baginya pada hari kiamat." (Riwayat al-Tabrani)

"Engkau lihatkah perkuburan yakni Baqi' ini? Dari sini Allah akan membangkitkan sebanyak 70,000 orang wajah mereka bercahaya seperti bulan purnama, lalu mereka dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab." (Sabda Rasulullah kepada Ummu Qaish, riwayat Tabrani, Ibnu Hibban dan Tayalusi)


Peluang bersolat di Raudhah adalah suatu rahmat yang tidak terhingga buat saya. Dalam keadaan yang penuh sesak kerana terpaksa menunggu tempat untuk bersolat entah kenapa tiba2 saya rasakan ada satu ruang yang terbentang begitu luas didepan saya walaupun sebenarnya hanya cukup untuk saya seorang, rupanya Allah telah memberikan saya ruang untuk bersolat disitu, bercucuran airmata saya mengalir sehingga doa yang penghabisan & bersyukur sangat kerana telah diberi peluang oleh-Nya untuk berada disitu.

Setiap doa di Raudhah memiliki afdhaliyah yang tinggi. Raudhah bererti taman, merupakan suatu tempat didalam Masjid Nabawi di Madinah yang letaknya diantara bilik Nabi/rumah Nabi (sekarang menjadi makam Rasulullah SAW) sampai mimbar masjid. Disitulah dahulu Nabi biasa membacakan wahyu dan mengajar tentang Islam didepan para sahabat terdekatnya. Mengingat besarnya makna tempat ini, Nabi pernah bersabda, Antara rumahku dengan mimbarku adalah Raudhah (taman) diantara taman-taman syurga".

Berada didalam Masjid Nabawi sambil melihatkan tiang2nya yang indah memenuhi segenap ruang masjid tidak tergambar oleh saya betapa indah & beruntungnya saya dapat sampai ke situ akhirnya, terasa begitu tenang berada berdekatan dengan makam Rasulullah s.a.w meski yang kelihatan hanya mimbar disebalik panel2 kayu yang memisahkan jemaah lelaki & wanita.

Selesai solat sunat di Raudhah saya & mak bonda termasuk beberapa orang makcik2 yang turut serta dalam rombongan kami mengambil kesempatan berjalan2 disekitar bazaar yang terletak diluar dari Masjid Nabawi. Dari kedai menjual jubah, tasbih sehingga pelbagai keperluan begitu mudah didapati disana.
Paling menarik apabila kami singgah disebuah kedai yang menjual kitab suci Al Quran. Seorang lelaki arab yang kami gelarkan sebagai YOB (gelaran yang makcik2 tu bagi, maklum ler kami kan orang perak) begitu ramah melayani kami, macam2 lah yang kami beli, akhirnya kami namakan 'KEDAI YOB' untuk memudahkan kami memandangkan terlalu banyak bazaar2 disitu, si arab tadi bukan main suka bila dipanggil YOB, lebih melucukan bila dia cuba mengikut slang orang perak, kelakar sungguh! Tidak banyak aktiviti yang dilakukan pada hari pertama kerana badan pun masih lagi keletihan, sekadar berulang alik ke masjid setiap kali tiba waktu solat. Disana masing2 berebut nak bersolat dimasjid maklumlah pahalanya berlipat kali ganda, kalau ditanahair nak pergi ke masjid tu pun kena tunggu waktu sembahyang raya sajalah jawabnya.
Hari kedua banyak diisi dengan lawatan & ziarah ke tempat2 bersejarah, sebaik selesai sarapan pagi kami berangkat ke Masjid Quba'.
Sabda Nabi : Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)

Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi
bersabda: Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba' pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah.

Destinasi seterusnya adalah ke Pasar Tamar Al Barokah, disana terdapat pelbagai tamar & berbagai jenis makanan menarik yang dijual disana, sayang sekali kebanyakkan tamar yang dijual disini agak mahal berbanding dengan pasar tamar yang berdekatan dengan hotel penginapan kami. Nak buat macamana dah terbeli...
Barangkali disitu merupakan tempat tumpuan para jemaah terutamanya yang datang dari Malaysia (kononnya orang2 malaysia kan kaya raya bak kata pak arab). Hmmm...bukan setakat kaya raya, hantu raya pun kami ada pak arab oi!

Tapi yang paling menarik tentulah tamar yang baru saja dipetik, tentu sekali masih segar & sedap rasanya. Tambahan pula jika diletakkan didalam peti sejuk maka semakin sedaplah tamar yang masak ranum tu. Kalaulah boleh dibawa pulang....

Tidak banyak tamar yang saya beli dari sana sebenarnya, cuma sejenis yang betul2 saya suka selebihnya hanya membeli coklat, pistachio, dried apricot sebagai buah tangan apabila pulang nanti.

Oleh kerana keadaan waktu yang tidak mengizinkan kami hanya dapat melihat Masjid Qiblatain & Masjid Tujuh sewaktu dalam perjalanan menuju ke Bukit Uhud. Masjid Qiblatain mula-mula dikenal dengan nama masjid Bani Salamah, kerana masjid ini dibangun di atas bekas rumah Bani Salamah. Pada permulaan Islam, orang melakukan solat dengan menghadap kiblat ke arah Baitulmuqaddis di Jerussalem. Pada tahun ke 2 Hijrah di masjid Salamah ini, tiba-tiba turunlah wahyu surat Al Baqarah ayat 144.

Dalam solat tersebut mula-mula Rasulullah SAW menghadap ke arah Masjidil Aqsa tetapi setelah turun ayat tersebut di atas, beliau menghentikan sementara, kemudian meneruskan solat dengan memindahkan arah kiblat menghadap ke Masjidil Haram.
Adapun wahyu yang diturunkan Allah untuk mengubah arah kiblat tersebut :
Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Allahnya dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan". (Albaqarah: 144).

Masjid Tujuh yang tidak sempat disinggahi :-(

Bukit Uhud yang terletak sekitar empat kilometer sebelah timur laut Madinah merupakan tempat berlangsungnya Perang Uhud (3 H). Perang Uhud terjadi antara kaum muslim dan kaum musyrik Quraisy. Meskipun memperoleh kemenangan, kaum muslim mengalami kerugian akibat banyaknya pahlawan muslimin yang gugur dalam perang ini, salah satunya adalah Hamzah bin Abdul Muthalib (Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w).

Jika kita ingin melihat gunung yang ada di syurga, maka ziarahlah Bukit Uhud. Nabi s.a.w. bersabda Bukit Uhud adalah salah satu dari gunung-gunung yang ada di syurga (H.R. Bukhari)

Memandangkan hari ini merupakan hari terakhir berada di Madinah kami bersiap2 untuk melakukan ziarah wida' di makam Rasulullah s.a.w sambil melakukan solat hajat & berdoa sebelum berangkat ke kota suci Makkah. Tak sangka sebegitu pantas masa berlalu akhirnya kami akan meninggalkan kota Madinah. Selama berada di Madinah tentu sekali pengalaman manis apabila dapat bersolat di Raudhah meskipun dalam keadaan penuh sesak dengan ribuan jemaah namun Allah masih memudahkan perjalanan saya. Alhamdulillah dapat juga menunaikan solat di Raudhah sebanyak 2 kali sambil memohon doa moga saya akan kembali lagi secepat mungkin.
Nota : betapa kini saya merindui suasana disana........

0 comments: